Percayalah, orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Tuhan (habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas), semuanya dibuat dengan gembira .
Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang, rasa bebas dan lapang di dalam hati.
Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada tulisan, masakan, lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.

Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi, sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.
